![]() ![]() Skin Made by Aina Hanani Background Founder by Qay Best view in Google Chrome only Cursor by Drikoti & Aina Hanani
| Iri
Thursday, 6 November 2014 | 05:41 | 0 BlackWhite
Nak bercerita.Bunyi tangisan kanak-kanak tak kedengaran lagi, Azraq buka matanya ketika ada dua orang dewasa sedang dalam esak tangis sambil salah seorang daripadanya sedang memeluk tubuh dia erat. "Mujur kamu selamat." Pandangan kaburnya bertukar terang dan dia nampak ibunya, menggogoi tak berhenti. Nampak bapanya yang sedang berbual dengan anggota polis, kelihatan terangguk angguk faham. Beberapa butir perkataan menangkap kedengaran. Ada rompakan, penyamun, kecuaian dan serangan. Selebihnya Azraq cuba hadam, tetapi hampa. Bila dua anggota polis itu sudah pulang, nenek dan atuknya datang dengan reaksi mendadak terkejut dan simpati. Dia tak berapa mengerti bahasa orang dewasa tentang sabar, ketentuan, serta qada' dan qadar. Tetapi apa yang dia tahu, dia nampak adik perempuannya, Hana Melissa sudah terbujur kaku dengan kain putih sudah menyebulungi tubuh kecil itu. Nampak seperti pocong yang selalu dimomokkan di kaca TV yang ayah selalu guna untuk takut-takutkan dia bila hendak ke tandas untuk buang air. Dia tak tahu ibunya sedih pasal apa. Adakah sebab dia terlalu muda untuk faham orang tua ataupun memang dia tak berperasaan bila adiknya pergi. Umurnya pun baru enam tahun. Melissa pula tiga tahun. Kalau emak sayangkan sangat adik, baik saya pun mati jugak. Hati kecilnya berdesir bila ibunya tak lepas mengucup dahi Melissa. Dia cemburu, sedikit. Salah ke? Dia pun anak mak. Anak ayah. Seminggu selepas kematian Melissa, nyata tak bawa apa-apa perubahan kepada keluarga kecilnya. Ayah masih sibuk dengan kerja dan adakalanya menolak pelawaannya untuk bermain video game dan mak pula masih menyelongkar barangan lama Melissa. Azraq rasa sangat terabai. Namun ia tak lama bila ayah pulang pada satu petang dengan membawa tiket percutian ke USS Singapura. Emaklah orang paling gembira sebelum meraih tubuhnya lalu dipeluk erat-erat. "Lama dah kita tak bercuti kan, sayang?" Cakap emak sambil cium pipi ayah. Dia senyum segaris. Emak nampaknya sudah boleh terima Melissa dah tak ada dalam hidupnya. Dah boleh sayang Azraq seadanya. Azraq sayang mak! Penantian untuk ke USS tak lama lepas ayah habiskan mesyuarat dengan Ahli Lembaga Pengarahnya pada petang selasa itu. Emak dan dia bersama-sama mengemas baju sambil adakala emak menyisir rambut ikal dia ke belakang. "Comel anak bujang emak. Rambut lebat macam ayah. Mata bulat macam emak. Kulit putih macam ayah." Bisik ibunya sambil menempel bedak dua tiga tompok pada wajah mulusnya. Azraq diam tak berganjak. Sengihnya mendedahkan garis gigi yang dah rongak di hadapan. Emaknya senyum sahaja. "Mak sayang Azraq. Jangan tinggalkan mak ya, sayang?" Bisik ibunya lagi sambil memeluk si anak dengan erat. Azraq angguk, mencium pipi ibunya lekas. Ayahnya tiba mengganggu selepas itu. Ayah mengoceh yang Azraq dah ambil tempatnya jadi ayah tak boleh nak manja-manja dengan emak lagi. Emak senyum saje membiarkan rajuk konon-konon ayah yang tak berapa nak menjadi itu. Perjalanan bermula bila ayah pasang lagu Balik Kampung kuat-kuat. Emak nyanyi sama sambil genggam erat tangan ayah. Dia pun turut sama menyanyi mengikut bait lagu yang pernah dia dengar. Semua gembira. Pemanduan ayah bertukar laju bila lagu bertukar rentak ke Penghujung Rindu. Azraq tahu ayah minat Jamal Abdillah, jadi lagu itu juga dia pasang kuat-kuat. Seribu tahu takkan sama... Kereta meluncur laju pada bukit yang agak curam. Emak menyambung nyanyian ayah. Sesaat bersatu dalam nyata... Ayah senyum bahagia. Brek ditekan. Aneh. Kereta yang sepatutnya perlahan, semakin laju tidak menunjuk sebarang signal untuk berhenti. Ayah pandang emak cemas. Emak sudah paut tangan ayah kuat-kuat sambil toleh pandang Azraq yang ketakutan. Ayah tekan brek lagi. Cubaan untuk memperlahankan kereta nyata gagal sebelum ayah pejam matanya tanda pasrah. "Allahuakbar!!" Kereta yang laju itu tidak kenal erti belas sekarang. Ia merodok apa yang ada di depan mata. Batu, pokok, bukit kecil sehingga terbabas sehingga ke semak-samun yang entah mana tempatnya, menderaikan cermin sebelum dahi ayah terhentak stereng dan kepala emak sudah terlentok pada cermin pintu yang sudah retak. Dua-duanya tak sedar. Dua-duanya berdarah. Azraq buka mata dalam kekaburan. Terpisat-pisat melihat dua jasad yang tidak sedar itu. Dengan susah payah dia membuka seat belt sambil mengelap darah yang mengalir di dahinya sendiri, lalu bergegas perlahan-lahan melihat ayahnya yang sudah kaku tak bernyawa dan emaknya yang masih bernafas sedikit-sedikit. Lega. Lalu dia senyum. Tak sia-sia dia siksa diri dan menekup wajah comel Melissa dengan bantal sampai budak kecil itu tak bergerak. Tak sia-sia juga dia tengok dokumentari tentang penyelenggaraan kereta sebelum diaplikasikan kepada kereta ayah. Hasilnya lumayan juga. Dia senyum lagi. "Azraq takkan berpisah dengan emak." Penghujung Rindu bermain lagi dari dalam kereta. Kerana kasihku sanggup korbankan jasad dan nyawa.....
Cerpen by Faizal Sulaiman (fixi)
Jom beli! Fixi tak pernah tak best percayalah.
Little princess
|